Oleh: NOR AZIAH JAAFAR PUTRAJAYA 27
Julai - Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan
Ringkas (SMS) adalah haram kerana mengandungi unsur perjudian.
Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, keputusan itu berdasarkan beberapa hujah dan latar
belakang peraduan tersebut yang bersifat samar-samar, mengandungi unsur eksploitasi dan penipuan.
Selain itu, katanya, ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan.
Menurut beliau, jika disebut judi, ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan yang tidak
menentu serta mengeksploitasi duit orang ramai sedangkan yang mendapat keuntungan adalah pihak
tertentu dalam bilangan yang terhad.
Dalam konteks kuiz melalui SMS, katanya, orang ramai terpaksa mengeluarkan wang untuk menyertai
sesuatu kuiz melalui penghantaran SMS dengan harapan akan menang sedangkan yang mendapat keuntungan
daripada kemenangan adalah sebilangan kecil peserta sahaja.
``Dalam kuiz sedemikian banyak peserta dapat menjawab dengan baik, tetapi mereka kena bersaing
dengan orang lain untuk menang.
``Umpamanya mata minimum adalah 200 dan dia kena belanja RM20 untuk SMS, kalau nak lebih daripada
itu, dia kena keluar duit yang banyak untuk kirim SMS hingga beribu-ribu ringgit.
``Tetapi akhirnya dia tidak mendapat apa-apa pulangan dan perkara ini tidak diharuskan oleh agama
kita,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan di sini,
hari ini.
Mesyuarat itu diadakan khusus untuk membincangkan mengenai berleluasanya penganjuran kuiz melalui
SMS di negara ini sejak akhir-akhir ini termasuk promosi di media massa sehingga ada peserta tidak
menyedari mereka kerugian beribu-ribu ringgit.
Beberapa stesen televisyen swasta turut menganjurkan pelbagai Kuiz SMS yang menawarkan pelbagai
hadiah antaranya Maxmillion, Malaysia Idol SMS Challenge dan SMS Game.
Menurut Ismail, fatwa mengharamkan peraduan kuiz melalui SMS ini bukan bermakna agama Islam menolak
kemajuan dalam bidang teknologi maklumat (ICT).
Sebaliknya, kata beliau, banyak kemudahan tersebut seperti e-mel dan Internet digunakan untuk
kerja-kerja pendakwahan.
Bagaimanapun, katanya, dalam hal ini majlis tersebut tidak boleh membiarkan kemajuan teknologi
digunakan bercanggah dengan hukum agama, oleh itu fatwa tersebut perlu dikeluarkan memandangkan ia
merupakan satu perkara baru yang orang ramai masih tidak memahami hukumnya dari segi agama.
Malah, kata beliau, fatwa tersebut adalah selaras dengan garis panduan mengenai penganjuran
peraduan bertujuan promosi komersial yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 20 April lalu
bagi menentukan sama ada ia mengandungi unsur perjudian atau tidak.
Menurutnya, Kementerian Kewangan telah mentakrifkan penganjuran atau penyertaan dalam acara cabutan
bertuah atau permainan yang bergantung kepada nasib adalah termasuk di bawah gaming atau lottery
mengikut Seksyen 2 Akta Rumah perjudian Terbuka 1953 dan tidak mengeluarkan permit bagi tujuan
penganjurannya.
Ismail memberitahu, menurut garis panduan itu, sesuatu peraduan adalah merupakan perjudian atau
loteri berdasarkan tiga fakta.
Katanya, fakta tersebut ialah pembahagian hadiah; permainan atau perjalanannya secara cabutan atau
nasib; dan wujudnya sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh peserta.
``Kalau perjudian dan loteri diharamkan oleh undang-undang sivil, maka ia perlulah diikuti oleh
semua pihak termasuk syarikat yang menganjurkannya.
Beliau memberitahu, jika fatwa serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan
diikuti, ia dapat dijadikan panduan yang amat baik dalam mengendalikan teknologi baru tersebut.
``Oleh itu orang Islam eloklah patuhi fatwa ini kerana kita sudah timbang dari semua sudut malah
jika mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, pihak syarikat yang
menganjurkan peraduan yang bercirikan perjudian harus mengambil tindakan sendiri menghentikannya,''
ujarnya.
Ismail memberitahu, sebelum fatwa tersebut boleh dijadikan sebagai undang-undang, ia perlu
diwartakan di peringkat negeri oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri memandangkan kuasa dari segi
agama terletak di tangan raja-raja.
Beliau seterusnya meminta setiap negeri segera mewartakan fatwa mengenai SMS tersebut memandangkan
semua mufti telah bersetuju dengan keputusan untuk mengharamkan peraduan kuiz melalui SMS itu.
``Semua mufti kena bawa perkara ini ke dalam Majlis Fatwa Negeri untuk diwartakan. Apabila
diwartakan di negeri mereka, barulah ia menjadi undang-undang dan penguatkuasaannya pula adalah di
bawah Majlis Agama Islam Negeri,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, jika terdapat pihak yang melanggar fatwa tersebut selepas ia diwartakan,
Jabatan Agama Islam Negeri akan menyiasat dan membuat dakwaan di Mahkamah Syariah yang akan menentukan
hukuman mengikut peruntukkan sedia ada. |